Thursday, 3 November 2011

Panduan Mengenai AQIQAH & QURBAN

Salam semua blogger/pembaca pastisyok!


Sempena bulan haji/qurban ni, ramai orang yang akan melakukan ibadah qurban dan akikah jugak...
Tahun ni kawe ada buat akikah untuk anak2 kembar kawe...so di sini kawe ada copy paste info dari internet mengenai panduan ibadah AQIQAH ni... selamat membaca..



Pengertian Aqiqah:
Erti aqiqah dari segi bahasa Arab ialah rambut yang tumbuh di atas kepala bayi yang dibawa bersama kelahirannya.
Manakala pengertian atau taa'rif dari segi istilah atau hukum syarak ialah " Penyembelihan haiwan yang tertentu untuk manfaat anak, disamping bercukur rambut dan memberi nama anak tersebut".
Hukum Aqiqah: Mengikut pendapat Imam Syafie ibadat aqiqah ini adalah Sunat Muakkad.
Setiap ibadat terutamanya ibadat khas seperti ini perlulah dirujuk kepada al.Quran atau al.Hadis sebagai dalil Naqlinya yang membuktikan bahawa Allah memerintahkan umat manusia mengerjakan ibadat tersebut dan bukan ciptaan manusia. Di bawah ini diperturunkan maksud dalil-dalil tersebut.

(1) Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;

"Berserta anak itu ada aqiqah, maka alirkanlah darah untuknya, dan singkirkanlah sesuatu yang membahayakan daripadanya."
(Riwayat Tirmizi)

(2) Sabda Rasulullah.s.a.w. yang bermaksud;
"Seorang anak terikat dengan aqiqahnya yang disembelih pada hari ke tujuh, dan dicukur serta diberi nama."
(Riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Imam Malik menyatakan bahawa, hukum aqiqah ini adalah perintah yang tidak dapat dipertikaikan lagi. Imam Ibnu Qayyim pula menthabitkan aqiqah dengan nilai korban seekor kambing yang dikurniakan oleh Allah swt sebagai ganti diri untuk Nabi Ismail a.s.. Maka dengan itu, difahamkan bahawa penyembelihan aqiqah untuk anak yang dilahirkan berguna untuk melindungi bayi daripada gangguan syaitan.
JENIS HAIWAN YANG SAH DIJADIKAN QURBAN DAN AQIQAH.
Haiwan yang digunakan untuk perlaksanaan ibadat aqiqah perlu memenuhi syarat-syarat yang serupa dengan haiwan-haiwan untuk ibadat qurban.



Jenis haiwan dan syarat-syaratnya;
(1). Kambing dan biri-biri -(berusia melebihi dua tahun atau telah bersalin gigi)
(2) Kibas - ( berusia satu tahun atau telah bersalin gigi )

(3). Lembu dan Kerbau-( berusia melebihi 2 tahun dan masuk tahun yang ke 3 )

(4). Unta - ( berusia melebihi 5 tahun dan masuk tahun yang ke 6 )

Haiwan-haiwan ini hendaklah terdiri daripada haiwan ternak(Bahimatul An'aam)-yang mempunyai empat kaki-
dalam keadaan tidak cacat, tidak buta, tidak bunting dan tidak terlalu kurus. 
Menurut Imam Malik, Asy-Syafi'e, Ahmad dan jumhur ulama' , bahawa aqiqah adalah sah dengan penyembelihan haiwan empat kaki (Bahimatul An-`aam) seperti unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri dan kibas (sama seperti ibadat qurban). Pelaksanaan penyembelihan haiwan tersebut di dalam ibadat aqiqah juga mempunyai syarat-syarat tertentu seperti yang disebutkan di atas tadi.

Manakala haiwan seperti rusa, kijang dan kancil tidak termasuk dalam perkiraan sebagai Bahimatul An'aam ( bukan jenis ternakan ). Maka tiga jenis haiwan tersebut tidak sah dijadikan sebagai haiwan aqiqah dan juga qurban..

Paling utama(Afdhal) aqiqah bagi seorang anak lelaki ialah 2 ekor kambing dan untuk anak perempuan seekor kambing, Ini adalah berdasarkan al.Hadis yang diriwayatkan Aisyah yang bermaksud seperti berikut:
"Rasullulah s.a.w. memerintahkan kepada kami supaya menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dengan dua ekor kambing dan untuk perempuan seekor."
Kanak-kanak lelaki ataupun kanak-kanak perempuan sunat diaqiqahkan. Di bawah ini adalah dalil naqli yang berkenaan.
(1) Sabda Rasulullah..s.a.w. yang bemaksud;
" Anak lelaki diaqiqahkan dengan dua ekor kambing dan anak perempuan diaqiqahkan dengan seekor kambing." ( Riwayat Ahmad dan Tirmizi).

(2) Rasulullah bersabda; " Rasulullah s.a.w telah memerintahkan kepada kami untuk mengaqiqahkan anak lelaki dengan dua ekor kambing dan anak perempuan dengan satu ekor kambing." (Riwayat Ibnu Abi Syaiban).
Pembahagian daging aqiqah adalah seperti berikut:
(1) 1/3 bahagian hendaklah diberikan kepada fakir dan miskin.
(2) 1/3 bahagian hendaklah diberikan kepada kaum kerabat, sahabat handai dan lain-lain.
(3) 1/3 bahagian adalah untuk diri sendiri.
Ini bermakna seekor kambing yang dijadikan aqiqah itu dibahagikan kepada tiga bahagian seperti di atas. Daging aqiqah sunat dimasak dahulu dengan masakan yang agak manis rasanya sebelum disedekahkan. ( Bagi mereka yang kurang berkemampuan dibolehkan aqiqah dengan seekor kambing atau satu bahagian daripada tujuh bahagian untuk anak lelaki tetapi afdalnya dua ekor )
(Tulang-tulang haiwan aqiqah jangan dipatah-patahkan melainkan dipotong atau diceraikan pada sendi-sendinya sahaja apabila disedekahkan).
PERINGATAN:
Haiwan yang hendak dijadikan aqiqah atau qurban hendaklah diteliti semasa membelinya supaya haiwan tersebut menepati syarat-syaratnya termasuk cara pemeliharaannya secara berakhlak. Ketika membuat pembelian hendaklah mematuhi syarat jualbeli supaya pembelian yang dilakukan itu sah termasuk mereka yang membeli sebahagian daripada tujuh bahagian atau lebih, Penganjur qurban atau aqiqah hendaklah menyediakan borang khas untuk memudahkan para peserta aqiqah atau qurban, di mana di dalam borang tersebut dimasukkan lafaz akad jualbeli, niat aqiqah atau qurban atau wakil atau seumpamanya supaya ibadat yang dilakukan itu mengikut syariat Islam dalam semua langkah sejak dari awal sehingga ke akhirnya.
Dirumuskan: 
Pada hari ketujuh setelah dilahirkan anak tersebut sunat dicukur rambutnya, diberi nama, Tahniq ( belah mulut) dan aqiqah ( jika mampu ).

IBADAT QURBAN:
Pengertian ibadat Qurban;
Qurban ialah penyembelihan haiwan yang tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah bertujuan mendekatkan diri kepada Allah.
Tarikh mula-mula disyariatkannya ialah pada tahun ke 2 hijrah dan pada tahun tersebut juga diperintahkan mendirikan solat Aidil Adha dan mengeluarkan zakat.
Dalil naqli ( ayat al.Quran dan al.Hadis ) mengenai ibadat Qurban;
(1) Dari surah Al.Kauthar ayat ( 2 ) yang bermaksud;
" Sebab itu sembahyanglah engkau kerana Tuhanmu dan sembelihlah (qurbanmu)".
Sembahyanglah dimaksudkan solat sunat Aidil Adha - Sembelihlah bermaksud sembelihan qurban.
(2) Dari Abu Zubair dari Jabir bin Abdullah.r.a katanya: " Kami pernah menyembelih qurban bersama Rasulullah.s.a.w. pada tahun Perjanjian Hudaibiyah, untuk qurban seekor unta atau qurban seekor sapi, kami bersekutu tujuh orang".
(3) Dari Ali .r.a. katanya; Aku disuruh Rasulullah.s.a.w. mengurus penyembelihan haiwan qurban, menyedekahkan daging dan kulitnya, dan mengurus segala sesuatu yang berhubung dengan kesempurnaan qurban . Tetapi dilarang beliau mengambilkan upah untuk tukang sembelih dari haiwan qurban itu. Kata Ali, untuk upahnya kami ambilkan dari wang kami sendiri.
Perbezaan di antara ibadat aqiqah dan ibadat qurban:

Hukum ibadat aqiqah dan qurban adalah sunat muakkad, iaitu ibadat yang sangat dituntut untuk dilaksanakan dan besar pahalanya. Namun ia akan menjadi wajib sekiranya dinazarkan.
Perhatikan Perbezaannya:
Ibadat Qurban sangat dituntut kepada orang yang menunaikan haji dan juga orang yang tidak menunaikan haji. Manakala ibadat Aqiqah pula adalah sangat dituntut kepada orang yang wajib memberi nafkah daripada hartanya kepada seseorang kanak-kanak. Tuntutan ini adalah bermula sebaik sahaja kanak-kanak itu selamat dilahirkan sehinggalah ia mencapai umur baligh. Apabila kanak-kanak tersebut telah mencapai umur baligh sedang ia tidak pernah dilaksanakan Aqiqah untuknya maka tuntutan sunat itu adalah ke atas dirinya sendiri.

Memang terdapat sedikit perbezaan antara dua jenis ibadah ini. Perbezaan yang begitu ketara antara dua ibadah ini ialah dari segi masa pelaksanaannya. Ibadah Qurban hanya boleh atau sah dilakukan pada hari Raya Haji iaitu pada tanggal 10 Zulhijjah dan pada hari-hari Tasyrik iaitu tanggal 11, 12 dan 13 Zulhijjah tiap-tiap tahun. Manakala ibadah Aqiqah pula sah dilakukan pada bila-bila masa sepanjang tahun. Ibadah Qurban dihubungkaitkan dengan ibadah haji manakala ibadah Aqiqah pula dihubungkaitkan dengan kelahiran anak.
Haiwan yang boleh disembelih untuk ibadat qurban dan syarat-syarat haiwan tersebut, juga cara pengagihan dagingnya. Sila rujuk keterangan di atas kerana amalannya sama sahaja seperti ibadat aqiqah .
Sekiranya terdapat kelemahan dan kekurangan di dalam penjelasan di atas. Kelemahan itu adalah kelemahan saya sendiri dan saya memohon maaf.
Sekian. Wallahu aklam . Wassalam.








No comments: