Pages

Tuesday 1 November 2011

Antara tanda-tanda Kiamat : Mecca Royal Clock Hotel Tower



MAKKAH AL-Mukarramah merupakan tempat lahir junjungan Nabi Muhmmad SAW, sekali gus di mana terletaknya Kaabah atau Baitullah kiblat pertama umat Islam sejagat. Kaabah pada awalnya dibina oleh Nabi Adam, kemudian disempurnakan bangunannya oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail AS. Kaabah dikelilingi oleh Masjidil Haram yang lokasinya berada di tengah-tengahnya.

Masa terus berganti dan kini kota Makkah telah berubah wajah dengan begitu ketara dan pesat membangun. Islam menuntut kemajuan dan tamadun, tetapi bukanlah bererti menjejaskan warisan dan peninggalan sejarah, apa lagi warisan yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammada SAW.

Kita teringat akan sabda Nabi Muhammad yang bermaksud: “Belum akan datang kiamat sehingga manusia berlumba-lumba dengan bangunan-bangunan yang megah.” (Riwayat Bukhari).

Menurut beberapa sumber, bangunan yang dibangunkan di halaman Masjidil Haram dikenali dengan sebutan “Mecca Royal Clock Hotel Tower” yang ketinggiannya lebih dari 601 meter. Ketinggiannya hanya selisih 200 meter dari bangunan tertinggi dunia ketika ini, iaitu Al-Burj Khalifa Dubai. Ianya merupakan bangunan tertinggi di dunia iaitu 828 meter yang telah dirasmikan pada Januari 2010 lalu. Bangunan ini memecahkan rekod bangunan tertinggi sebelumnya iaitu CN Tower dengan ketinggian 553 meter.

Jika halaman sudah rata dan dibangunkan bangunan-bangunan pencakar langit, ertinya lembah suci yang terkawal sejak zaman Nabi Ibrahim AS itu tidak ada lagi dan telah berubah menjadi taman kota dengan gedung-gedung pencakar langit.

Siapakah penghuni apartmen mewah itu nanti? Apakah dijadikan lahan bisnes atau kepentingan politik dunia? Pada hal itu tanah haram, menakutkan. Adakah manusia mulai berani merusak tanah haram? Ataukah pemimpin-pemimpin negara Islam juga ikut serta dalam maraknya perlumbaan pembangunan gedung-gedung pencakar langit dengan negara-negara kaya lainnya di dunia?

Berlumba-lumba membangun gedung pencakar langit, itulah salah satu tanda-tanda kiamat yang diperingatkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis tersebut di atas. Baginda mengingatkan kepada para sahabat bahawa nanti sebelum kiamat berlaku, manusia akan berlumba-lumba membangun bangunan bertingkat-tingkat. Mungkin masa itu para sahabat kebingungan kerana pada waktu itu Arab Saudi merupakan gurun tandus dan memang belum ada kota gemerlapan seperti sekarang ini.

Sekarang ini bangunan-bangunan mewah itu telah mendesak pekarangan Masjidil Haram, dan bukit-bukit sekitar lembah terjejas di mana Nabi Ibrahim AS dan anaknya mendirikan tonggak-tonggak Baitullah dan digantikan dengan bangunan-bangunan komersial serakah.

Bangunan-bangunan mewah itu seolah-olah ingin menjejaskan pula Masjidil Haram dan sekitarnya. Siapa yang memungkiri keindahan dan kemegahan bangunannya, kita sendiri berasa kagum, seperti apa yang digambarkan oleh Rasulullah berabad-abad lalu, di mana penggembala unta itu sekarang ini sudah pintar dan mereka berlumba-lumba membangun bangunan-bangunan megah pencakar langit.

Tidakkah mereka mendengar firman ALLAH bahawa tanah haram adalah untuk semua manusia di bumi, bukan untuk bisnes. Firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan menghalangi manusia di jalan ALLAH dan Masjidil Haram yang telah Kami jadikan untuk semua manusia, baik yang bermukim di situ mahupun di padang pasir dan siapa yang bermaksud di dalamnya melakukan kejahatan secara zalim, nescaya akan Kami rasakan kepadanya sebahagian seksa yang pedih.” (Al-Hajj : 25).



No comments: