Pages

Tuesday 29 November 2011

Amalan Bersunat



Bersunat atau khatan atau khitanan pada masa sekarang kurang dijalankan dengan mengadakan kenduri kendara secara besar-besaran seperti pada zaman dahulu. Walaubagaimanapun masih ada juga yang mengerjakannya dengan berkenduri kendara yang tidak kurang hebatnya. Apabila umur anak si ibu bapa Melayu telah masuk lebih kurang sepuluh atau dua belas tahun maka ibu bapa anak tersebut akan menetapkan hari untuk mereka mengadakan kenduri kendara menyunat anaknya itu. Lalu diberitahu atau dijemput dengan mulut atau dengan surat beberapa saudara-mara, sahabat-handai dan jiran-jiran sekampung. Sekiranya ingin mengadakan kenduri yang lebih besar maka dipanggillah ahli-ahli jemputan dengan lebih ramai lagi.



Bila sampai harinya, pada sebelah petang atau malamnya mulalah anak lelaki yang hendak disunat itu dimandikan, diandam dan dipakaikan dengan pakaian yang cantik seperti pakaian pengantin. Kemudian, anak lelaki yang ingin disunat itu dibawa duduk di atas kerusi dan ada juga yang membuat pelamin khas untuk budak itu duduk. Bahkan, ada juga yang suka mengarak budak itu seperti mengarak pengantin sebelum dia didudukkan di atas pelamin. Sesetengahnya pula jika budak yang hendak disunat itu telah khatam membaca Al-Quran maka disertakan pula adat menyunat itu dengan adat berkhatam Al-Quran, iaitu budak itu duduk bersila di atas tikar di belakang pelamin itu berhadapan dengan tetamu kehormat yang hadir dan membaca surah-surah penghabisan di dalam Al-Quran itu dengan suara yang kuat dan berlagu (jika dia telah dilatih mengaji dengan berlagu). Setelah selesai mengaji budak itu dipelawa duduk di atas pelamin dan bunga-bunga telur yang telah diperbuat khas dibahagikan kepada tetamu kehormat yang hadir seorang satu tangkai. Bagi guru yang mengajar budak itu, lazimnya si ibu bapa kepada anak yang ingin disunat itu akan menghadiahkan lengkap satu persalin pakaian. Pada akhir majlis itu budak itu disuruh mencium tangan dan bersalaman dengan tetamu-tetamu kehormat tersebut. Kemudiannya, jamuan pun diedarkan kepada sekalian yang hadir. Sesudah itu, majlis petang atau malam itu pun tamat. Pada pagi keesokan harinya, sebelum tok mudim (gelaran tukang sunat) tiba, beberapa benda untuk kegunaan tok mudim menyunat perlu disediakan seperti di bawah ini :-

•  kain putih, panjang lima hasta.
•  seekor ayam jantan.
•  sebiji buyong air.
•  sebatang pokok pisang.
•  sirih pinang selengkapnya di dalam piring atau tepak.
•  duit sebanyak RM3 atau lebih, bergantung seberapa banyak ibu bapa budak itu hendak sedekah kapada tok mudim itu.

Pada pagi itu, budak yang ingin disunat akan disuruh mandi sepuas-puasnya dan setelah itu air di dalam buyong yang telah dijampi oleh tok mudim akan dicedok dan disiram ke atas budak itu sambil budak itu berdiri di atas tangga. Kemudian budak itu disuruh duduk berkangkang di atas batang pisang, dan tok mudim itu pun dengan pantas menyunatkannya. Sehabis sahaja dicantasnya maka dengan cepat tok mudim itu mengambil ayam jantan dan diacukannya kepala ayam jantan itu kepada kemaluan budak itu. Jika tengkok ayam itu kelihatan kembang ketika diacu-acukan, menandakan kononnya budak itu garang dan akan berbini banyak.

Kain putih, ayam jantan, tepak dengan isinya, buyong dan duit sedekah itu semuanya terpulang kepada tok mudim itu untuk mengambilnya. Tok Mudim itu akan datang melihat keadaan budak yang disunatnya itu selama tiga hari berturut-turut, setelah itu selesailah kerjanya.

Namun begitu, kebanyakan masyarakat Melayu sekarang lebih gemar menghantar anak lelaki mereka bersunat di hospital atau di klinik yang diyakini jauh lebih mudah, cepat sembuh dan selamat oleh doktor yang berkemahiran.


No comments: